KC3 – Pemimpin Pelajar Yang Berkualiti

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Peribahasa ini jelas membuktikan betapa remaja amat diperlukan untuk meneruskan legasi memimpin negara pada masa hadapan.  Sikap kepimpinan ini perlu dipupuk, disemai dan dibentuk sejak mereka dilahirkan dan usaha murni itu perlu digalas selanjutnya ketika mereka berada dalam alam persekolahan.  Tugas sebagai pemimpin cilik bermula apabila pelajar-pelajar mula menonjolkan bakat di sekolah.  Sebagai pemimpin pelajar, mereka perlu menunjukkan ciri-ciri istimewa bagi membuktikan kepercayaan pihak sekolah melantik mereka menerajui unit-unit di sekolah adalah tepat.

Pemimpin pelajar seperti pengawas, ketua kelas, pengerusi persatuan dan sebagainya perlu mempunyai sahsiah yang terpuji.  Sahsiah yang terpuji sememangnya kriteria utama bagi seseorang pelajar untuk dipilih sebagai pemimpin kerana mereka akan menjadi suri teladan kepada pelajar yang lain.  Jika mereka mengamalkan sahsiah yang terpuji seperti patuh pada peraturan sekolah, sentiasa menghormati guru, sentiasa melakukan kebajikan dan ikhlas dalam menjalankan tugas, pasti mereka akan dihormati oleh para pelajar.  Tindakan mematuhi peraturan sekolah amat penting demi menjaga imej mereka sebagai duta sekolah dan wakil kepada guru.  Sekiranya, pemimpin pelajar tersasar daripada kriteria ini, guru perlu melakukan tindakan pembetulan agar mereka kembali ke pangkal jalan dan menyedari bahawa pemimpin pelajar seharusnya meminimumkan salah laku agar diri mereka sentiasa dihormati.

Setiap pemimpin pelajar mempunyai skop tugas mengikut jawatan masing-masing.  Untuk membina kreadibiliti sebagai seorang pemimpin, kriteria utama yang perlu dijadikan sandaran ialah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tersebut tanpa sebarang alasan.  Mereka juga perlu siap siaga dalam melaksanakan segala tugas yang diberikan oleh pentadbir sekolah dengan penuh amanah.  Kesannya, pelajar ini akan mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan sesuatu tugasan  berbanding pelajar yang tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti.  Sikap bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan ini akan melahirkan generasi pemimpin negara yang lebih berkualiti.  Hasil tugasan juga akan menjadi lebih cemerlang jika dilaksanakan dengan penuh wibawa, menepati masa dan mengambil kira segala kemungkinan.  Jadi, pemimpin yang berkualiti mesti menggalas tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi.

Kepimpinan melalui teladan.  Falsafah ini perlu menjadi pegangan setiap pelajar yang diberi tanggungjawab sebagai pemimpin kerana mereka perlu menjadi contoh dan teladan kepada seluruh warga sekolah.   Amsalnya, jika dia sering datang awal ke sekolah, pelajar lain juga akan mencontohinya lebih-lebih lagi pelajar yang mengangkat pemimpin pelajar ini sebagai idola mereka.  Setiap gaya percakapan dan perlakuan akan ditiru oleh pelajar yang lain.  Jika pemimpin pelajar gagal menunjukkan contoh dan teladan yang baik, dia tidak sewajarnya dinobatkan sebagai pemimpin pelajar kerana akan memberikan pengaruh yang tidak baik kepada pelajar lain.  Maka, setiap pemimpin pelajar perlu mempunyai peribadi yang terpuji sehingga mampu mempengaruhi orang lain untuk mencontohinya.

Jawatan sebagai pemimpin pelajar bukan sekadar untuk meningkatkan imej diri atau memenuhi keperluan peribadi tetapi perlu digalas dengan penuh kreadibiliti.  Semoga setiap pemimpin pelajar dapat meneroka peluang keemasan yang diberikan oleh pihak sekolah untuk membina jati diri mereka sebagai pemimpin yang berkaliber.  Jika sejak di bangku sekolah lagi sikap kepimpinan ini terserlah dan menyinar, pastinya mereka mampu menjadi modal insan berkualiti kepada negara sekali gus  melestarikan impian Transformasi Nasional 2050.