Suatu Masa

Diabadikan buat Tuan Haji Sharif Bekas PK Hem SMK Permai Indah

Sahabat
Suatu masa
Ketika menjejak kenangan yang tak terucapkan
kita pernah bersama mengemudi bahtera
belayar mengharung samudera
membangun tamadun
insan kerdil yang perlukan bimbingan
didikan
dalam sentuhan kasih sayang
mengenali onak duri
angin ribut
kalut hidup
menitip hari-hari yang perlu diisi
dengan nilai suci dan murni
menghargai tiap detik nafas anugerah Ilahi

Sahabatku
walau tari kita kadang-kadang berbeza rentaknya
namun berpayungkan pengharapan padu
bertunjangkan matlamat yang satu
kita bina bangsa merdeka yang benar jitu
sesekali kita runduk buntu bersama
lalu kita kembali sedar bahawa
perjuangan ini bukan semudah yang kita impikan
bisa menuntut pengorbanan yang tinggi
bisa meruntun ketabahan nurani

Sahabatku
suatu masa
ketika ku lepaskan pengemudi
pergi dulu dari medan yang satu ini
memandang kau dari jauh
berlari jatuh bangun lagi
dalam iringin doa dan restuku
penuh rindu
menyelusuri jejak-jejak silam

Kini tiba hari yang dijanjikan
Kau tersenyum dalam keterpaksaan
serahkanlah anak bangsa ini
pada mereka yang tangannya gagah
ilmunya bercambah
impiannya mencapah
tenaganya mewah
mari kita undur diri bersama
teruskan perjuangan
dalam nada berbeza

Selamat datang ungkapan keramat
bersara
sesungguhnya ia bukan penamat
kerana sekali bergelar guru
selamanya kau seorang cikgu.

Nukilan
Adiratna Pekaca
Feb 2016