Sinopsis Bab 3

Jangan Tinggalkan Kami

                Cerita bermula dengan ibu Dahlia bermantera manakala Dahlia sedang berdoa usai solat isyak.  Keadaan ibunya mengganggu perasaan Dahlia yag tertanya-tanya sama ada ibunya disihir orang tetapi Dahlia tidak dapat membayangkan siapa-siapa yang berdengki atau sakit hati terhadap ibunya.  Sedar akan masalah yang dialami adalah ketentuan dari Allah, Dahlia berdoa agar  dikuatkan imannya untuk menghadapi dugaan dengan tabah.   Dia juga berdoa agar ibunya sembuh seperti sedia kala.

            Doa Dahlia terputus apabila terdengar teriakan Nek Kiah, ibu kepada emaknya memanggil Embong.  Setelah naik ke rumah sambil membebel tentang dirinya yang tidak dialu-alukan, Nek Kiah terus menyindir Dahlia yang kerap pulang ke kampung.  Dahlia bersalam dengan Nek Kiah lalu ke dapur menyediakan minuman.  Ibunya Saleha yang terikat kaki dan tangan duduk di pojok rumah, tertawa.  Nek Kiah mula membebel dan mempersoalkan tindakan Embong setelah melihat Saleha dilayan sedemikian rupa.  Kiambang dan Melati yang sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tengah mendengar segalanya dan berasa bimbang kerana tanda-tanda perang mulut akan bermula. Nek Kiah menganggap keluarga Saleha sahaja yang tidak baik dan anak-anaknya tidak pandai seperti cucu-cucunya yang lain.  Nek Kiah menuduh Embong menyeksa Saleha sejak mereka berkahwin hingga dikurniakan enam anak.  Masalah jiwa Saleha juga dikatakan berpunca dari sikap Embong yang pada pandangannya seorang yang pemalas.  Embong hanya mendiamkan diri.  Dia tidak mahu ibu mentuanya membidas dengan kata-kata yang lebih menyakitkan hati.  Dahlia pula bimbang jika bancuhan kopinya kali ini masih tetap tidak kena dengan tunas rasa neneknya itu.

            Pada saat itu ada orang memberi salam.  Embong bingkas bangun lalu membuka pintu.  Rupa-rupanya Haji Sulaiman, Ketua Kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Hj Rais membawa pegawai dari Hospital Batu Pahat.   Senja tadi, Embong telah meminta bantuan Haji Sulaiman dan orang-orang kampung menangkap isterinya untuk dibawa pulang.   Haji Sulaiman mengatakan bahawa adalah menjadi sebahagian tugasnya membantu Embong berkaitan masalah Saleha.  Embong menolak kerana menganggap dia mampu menangani masalah keluarganya.  Namun, sikap Embong yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang berhemah berubah apabila penyakit isterinya dikatakan akan menjangkiti orang kampung.  Perubahan tingkah lakunya membuatkan Haji Sulaiman mengambil pendekatan untuk memujuknya dengan lembut.

Dahlia meluahkan pandangan bahawa dia tidak bersetuju ibunya dibawa ke hospital ketika dia menghidangkan kopi kepada tetamu.   Pada masa yang sama Anggerik menangis lalu Dahlia bergegas ke buaian, disentuhnya dahi Anggerik, panas walaupun udara di luar sejuk. Dahlia dan adik-adiknya memasang telinga terhadap perbualan antara bapa mereka dengan Haji Sulaiman.  Haji Sulaiman menerangkan bahawa niatnya baik untuk membantu Embong.  Embong akhirnya lembut hati namun Dahlia membantah kerana penyakit ibunya bukan selalu terjadi, sesekali sahaja.  Lagipun Dahlia bimbang akan Anggerik ketika ketiadaan ibunya.  Tetapi kata-kata itu tidak diujarkannya takut dianggap kurang ajar atau tidak mengetahui tatasusila budaya.  Budaya Melayu melarang keras perbuatan membantah kata-kata orang tua.

Kiambang dan Melati menjerit agar bapa mereka tidak membenarkan ibu mereka dibawa pergi.  Nek Kiah memaki Embong sebagai lelaki tidak berguna kerana membenarkan Saleha ke hospital.  Embong terpaksa membuat pilihan itu demi kebaikan Saleha, wanita yang dicintainya lebih dua dekad.  Empat orang lelaki membawa Saleha dalam suasana yang penuh tangisan dan raungan. Embong menyuruh Dahlia menjaga adik-adiknya kerana dia ingin ke hospital.