Rumusan 6 – MRSM 2016

 

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudaian buat satu rumusan tentang usaha-usaha meningkatkan pencapaian subjek Sains dan Matematik dan kepentingan-kepentingan mempelajari kedua-dua subjek tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Malaysia sering berada di tangga tercorot dalam bidang pendidikan khususnya dalam pencapaian subjek teras iaitu Sains dan Matematik yang didakwa mengalami penurunan minat yang ketara sebanyak 28 peratus.  Pernyataan ini dibuktikan melalui Indeks Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-98 daripada 181 buah negara.  Senario tersebut menjadi petunjuk bahawa perlunya usaha untuk meninjau sistem pendidikan negara pada semua peringkat.  Beberapa faktor dikenal pasti menjadi penyumbang terhadap tahap keyakinan tidak konsisten.  Faktor-faktor tersebut termasuklah kerisauan pelajar terhadap pencapaian.  Di samping itu, pengaruh rakan sebaya dan sikap ibu bapa yang tidak menyokong pembelajaran subjek Sains dan Matematik dilihat juga sebagai punca keadaan itu berlaku.

Bagi meningkatkan pencapaian subjek Sains dan Matematik agar setanding dengan negara lain, setiap pelaksanaan program pendidikan negara perlu diperhalus.  Selain itu, pembudayaan sains dan matematik hendaklah diterapkan dalam diri pelajar seawal usia kanak-kanak.  Tanggungjawab menyemai minat dalam kedua-dua subjek ini bukan terletak di bahu pendidik semata-mata.  Sekolah sewajarnya bekerjasama dengan masyarakat dalam meningkatkan kecemerlangan subjek ini supaya tidak melihat kecemerlangan dari sudut bilangan gred sahaja.  Tanggapan negatif masyarakat tentang kesukaran mempelajari kedua-dua subjek ini perlu diubah kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan.  Secara tidak langsung, tanggapan ini sebenarnya mampu mematikan minat dan keinginan pelajar untuk menguasai kedua-dua subjek ini dengan lebih baik.

Di samping itu, kempen kesedaran tentang subjek Sains dan Matematik dalam kalangan masyarakat mestilah diperhebatkan.  Kempen ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk menyedarkan banyak pihak agar memahami kepentingan isu ini kepada negara.  Dalam bidang kerjaya pula, pihak industri disarankan menjadi rakan kongsi ilmu ini dengan institusi pendidikan.  Percambahan idea dan pengintegrasian kepentingan subjek Sains dan Matematik melalui penganjuran pelbagai pertandingan merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan kedua-dua subjek ini.

Bagi melonjakkan kecemerlangan dalam subjek tersebut, pelajar seharusnya menerima gaya pengajaran berasaskan KBAT.  Mereka harus dibimbing supaya dapat berfikir secara kreatif dan kritis bagi menyelesaikan masalah.  Guru dan pelajar sepatutnya berganding baju untuk mencapai objektif pembelajaran lebih bermakna dalam kedua-dua subjek ini.  Guru juga perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan semasa dalam pengajaran supaya dapat menarik minat pelajar seterusnya meningkatkan pencapaian subjek tersebut.

Oleh itu, usaha membudayakan sains dan matematik perlu digerakkan oleh semua pihak bagi mencapai sasaran pelan hala tuju modal insan dalam bidang sains dan teknologi menjelang tahun 2020.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata mematikan minat?(2m)
  2. Pengarang ada menyatakan beberapa sebab keyakinan pelajar tidak menentu terhadap subjek sains dan matematik.  Nyatakan sebab-sebab tersebut. (3m)
  3. Pencapaian anda dalam subjek sains dan matematik kurang memberangsangkan.  Jelaskan tindakan yang akan anda lakukan untuk meningkatkan prestasi dalam kedua-dua subjek tersebut ?(4m)