Rumusan 5 – SBP 2016

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan kekangannya.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kaum wanita pada zaman dahulu sering dikaitkan dengan peranan mereka sebagai suri rumah, tetapi kini pencapaian wanita sudah memasuki fasa yang lebih luas dan cemerlang serta berjaya memecahkan dominasi lelaki, sama ada dalam bidang kepimpinan, pentadbiran, mahupun keusahawanan.   Oleh sebab golongan wanita di negara ini mewakili separuh daripada jumlah penduduk negara, penglibatan mereka dalam pembangunan ekonomi sangat penting untuk meningkatkan pendapatan negara dan sekaligus membantu meningkatkan status sosioekonomi keluarga.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, menyeru supaya sektor swasta turut meningkatkan penyertaan wanita di Malaysia dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan anggota lembaga pengarah.  Beliau juga menyarankan syarikat korporat membuka mata untuk menilai kebolehan wanita dari sudut yang lebih signifikan.  Dalam memperkasakan kuasa wanita dan sebagai antara agen pembangunan ekonomi negara, pada tahun 1989, kerajaan mengambil inisiatif untuk menggubal Dasar Wanita Negara.  Penggubalan dasar ini memperlihatkan komitmen kerajaan yang bertujuan untuk mengintegrasikan sumbangan wanita supaya tidak diketepikan.  Selain itu , usaha ke arah menjamin perkongsian yang saksama antara lelaki dan wanita dalam pendidikan sumber dan maklumat juga dilaksanakan.  Usahawan wanita hendaklah meneroka peluang dan faedah yang wujud daripada pembangunan.  Bagi memastikan golongan wanita dapat terus memacu pendapatan syarikat, usahawan wanita negara ini diseru untuk mendaftar dengan mana-mana persatuan usahawan.  Hal ini bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak maklumat, khususnya tentang peluang untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan, di samping membina rangkaian kerja yang lebih kukuh.  Usahawan wanita perlu mendekatkan diri dengan jaringan yang sesuai dan menjalinkan rangkaian yang lebih luas untuk menjana pendapatan perniagaan masing-masing.  Mereka juga perlu berusaha untuk merebut peluang atau peruntukan yang boleh dimanfaatkan.

Jabatan Pembangunan Wanita juga wajar meningkatkan kerjasama dengan institusi lain seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agar dapat memperkasakan kegiatan keusahawanan.  Hal ini dijadikan landasan yang baik untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan di negara ini.  Pada masa yang sama, langkah peningkatan kerjasama yang diambil sekurang-kurangnya membolehkan usahawan wanita terus membangun dan meningkatkan kemahiran, di samping berupaya mengenal pasti kelemahan mereka.

 

  1. Berikan maksud rangkai kata meningkatkan status ?(2m)
  2. Usahawan wanita akan mendapat maklumat jika mereka mendaftar dengan persatuan usahawan.  Nyatakan maklumat-maklumat tersebut.(3m)
  3. Wanita perlu memiliki ilmu yang tinggi dan kemahiran untuk berjaya dalam bidang keusahawan.  Pada pendapat anda, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh usahawan wanita agar mereka lebih cemerlang dalam bidang keusahawanan ? (4m)