Rahsia Sebuah Lukisan

Memenangi Hadiah Tempat Ketiga Sayembara Menulis Puisi DBP 2015

Aku tenung sebuah kanvas
terpasak rapi di dinding usang
Di dadanya terpalit rona suram
Tiada sisi yang menarik
Hanya jasad kaku beku disiram warna darah
Namun jadi warisan seorang pejuang
Pasti tersingkap seribu makna
Yang hanya mampu diterjemahkan
Oleh dirinya yang terluka

Lukisan itu lukisan makna hidup
Yang telah direntap rasa bahagianya
Oleh bangsa rakus yang menjajah
Memberi makna sebenar bebas merdeka

Lukisan itu mungkin berulang
Andai hilang rasa sanjung
di tanah yang semakin renggang ikatannya
semakin longgar nilai harga diri

Muhammad Anas Mursyid
SMK Permai Indah