Ku rindu dia.

Kali pertama berbicara, aku termalu sendirian.
“Kenapa tak turun ke kantin. Kan tak boleh duduk di kelas waktu rehat?” Tugas sebagai guru bertugas kulaksanakan semampunya aku.
“Maaf cikgu, saya tak sihat.  Baru keluar hospital.” Ku perhatikan wajahnya.
“Sakit apa?”  Ibarat polis aku menyoal.
“Kanser mata cikgu.” Terus aku terdiam, menggangguk dan berlalu tanpa kata.

Setahun berlalu.  Dia bergelar pelajarku di kelas 5 Sains.  Pemilik nama Nazirul Zafri ternyata memiliki semangat yang sangat tinggi.  Kerja rumah tak pernah diabaikan walau dia terpaksa bangun pukul 3 pagi dengan ditemani ibunya.  Setiap ajaranku diturut tanpa bantah.  Sayang aku padanya mencambah.  Biarpun dia sakit, tapi kesakitannya bukan penghalang.  Ada masa, seminggu dua minggu dia tidak hadir.  Aku selalu ceritakan kisah Nazirul Zafri kepada pelajar-pelajar lain yang masih alpa dengan keseronokan tak bertepian.  Jadikanlah iktibar.

Satu hari, dia berdepan denganku.
“Cikgu, lepas ni saya akan selalu tak hadir.  Kanser saya dah merebak ke otak.”
Ku tatap wajahnya.  Rasa sebak menyerbu jiwa.  Pada saat tanganku menaip bait seterusnya yang lahir dari jiwa, air mataku laju mengalir.  Masih ku ingat renungan matanya padaku.  “Saya rindu kamu.”
Cuba mengalih jiwaku agar air mata tidak tumpah di hadapan Nazirul, aku soal dia.
“Apa kamu rasa sekarang ini Nazirul?” Soalanku wajar kerana dia sendiri maklum akan keadaan dirinya. Usianya kian di hujung waktu.  Dia hanya tersenyum kemudian memberikan aku satu jawapan.
“Tak rasa apa cikgu.”

Allahu.  Kuatnya jiwa budak ini.  Tabahnya dia dengan ujian Allah untuknya.  Kemudian aku mula rasa sunyi. Ku dengar berita, keadaannya makin teruk.  Pada masa itu, aku sedang mengandung anak ke-4.  Selepas habis cuti bersalin, hatiku teringat sangat pada Nazirul.  Ditemani Ee Ling, sahabat baik Nazirul, aku ke rumahnya.  Sampai sahaja di depan pagar, aku nampak Nazirul sedang duduk di luar pintu rumah.  Ya Allah.   Aku terasa tidak mampu untuk berdiri.  Tidak mampu untuk berdepan dengannya.  Ku lihat matanya membengkak tidak lagi ditempat yang sepatutnya.  Dia sudah tidak mampu melihatku.  Ee Ling memintaku menunggu saja di dalam kereta.  Tapi itu bukan tujuanku.  Lantas ku kuatkan semangat.

“Nazirul, masih ingat cikgu?” usai memberi salam aku mulakan bicara.
Dia mengangguk. “Ya. Cikgu Haslina kan.” Ternyata dia masih kenal suara aku.
Ku biarkan air mata ini mengalir sebab dia tak nampak.  Aku cuma mengawal bicara supaya dia tidak terkesan dengan gundahnya perasaanku.  Aku penuhi waktu itu dengan sepatutnya.  Sebenarnya, itulah kali terakhir aku mendengar Nazirul ketawa.  Dia ketawa sebelum dia pergi meninggalkan dunia ini seminggu selepas aku bertemu dengannya.  Ternyata Allah izinkan pertemuan kami sebelum dia pergi. Kenangan terindah mungkin bagi aku.

Berita itu ku terima saat aku sedang berbuka puasa pada malam menjelang Nuzul Quran.  Sebak aku menahan rasa.  Juadah tidak lagi terasa enaknya.  Memang aku sangat sedih  tapi aku tahu takdir itu yang terbaik sebab dia tidak perlu lagi menanggung kesakitan itu.  Takdir itu yang terbaik sebab dia pergi dalam keadaan reda dengan penyakitnya. Takdir itu yang terbaik sebab dia pergi dalam usia muda.  Moga syurga tempatnya nanti.  Ku coretkan nukilan ini sebagai kenangan ketika ingatanku sudah mula pudar dek usia.  Semoga anak-anakku menyedari bahawa ada insan lain yang mewarnai hidup ibu mereka sebagai seorang guru.

Al-fatihah buat arwah Nazirul Zafri.