KC2 – Cara Menyayangi Sekolah

Sekolah merupakan institusi yang amat sinonim dengan para pelajar.  Sekolah diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang akan menggalas tugas meneraju negara pada masa akan datang.  Mereka diharap agar mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini.  Hasrat ini dapat direalisasikan jika pelajar menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing.  Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh pelajar untuk membudayakan semangat menyayangi sekolah setulus hati.

                Seseorang pelajar membuktikan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta benda yang disediakan oleh pihak sekolah.  Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik.  Hal ini demikian kerana harta benda sekolah merupakan kemudahan yang perlu dikongsi secara bersama oleh warga sekolah keseluruhannya.  Pelajar perlu difahamkan tentang keburukan melakukan vandalisme, iaitu kegiatan merosakkan harta benda sekolah.  Kerajaan terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan untuk membaiki kerosakan tersebut.  Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa distruktur semula untuk membaik pulih kerosakan yang diakibatkan oleh sikap negatif segelintir pelajar ini.  Senario ini sangat merugikan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk menyediakan kemudahan lain kepada pelajar agar mereka dapat belajar dengan sempurna.  Situasi ini  jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda menyayangi sekolah.

                Selain itu, mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara membuktikan rasa sayang akan sekolah.  Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah untuk mendidik pelajar supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sentiasa patuh pada peraturan walau di mana-mana sahaja mereka berada.  Namun begitu, segelintir pelajar beranggapan bahawa mereka bebas untuk melakukan sesuatu dan berasa besar diri jika mampu mencabar kreadibiliti pihak sekolah menangani karenah disiplin mereka. Tanggapan sedemikian tidak tepat kerana peraturan yang digubal sebenarnya mampu membina jati diri yang kukuh.  Peraturan yang dirangka bertujuan untuk menyediakan satu situasi yang harmoni serta mengelakkan pelajar terlibat dalam salah laku disiplin kerana boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.  Sebagai contoh, jika pelajar  terlibat dalam kes gaduh, sudah tentu pelajar tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti digantung persekolahan.  Kes  tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan dan maruah pelajar terbabit serta nama baik sekolah jika kes itu diketahui umum.  Oleh itu, pelajar perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, mengharumkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga merupakan cara untuk membuktikan rasa sayang akan ekolah.  Selain bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, pelajar juga perlu menaikkan nama sekolah dengan menempa kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum.  Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti sekeliling.  Sekolah-sekolah lain akan menjadikan kejayaan itu sebagai penanda aras untuk mereka mencipta kejayaan yang sama.  Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan penghargaan oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih.  Sebagai contoh, kejayaan Nik Nur Madihah menempa keputusan hebat 21A dalam Sijil Pelajaran Malaysia telah mengharumkan nama sekolah yang masih menjadi sebutan sehingga kini.  Jika tidak mampu mengharumkan nama sekolah dalam bidang akademik, pelajar masih boleh menjadi contoh dengan melonjakkan diri dalam arena sukan seperti Pandalela Rinong yang menjadi kebanggaan warga sekolahnya.  Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menaikkan nama sekolah.

Kesimpulannya,  pelajar wajib menzahirkan rasa sayang akan sekolah mereka.  Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka belajar asas jatuh bangun dalam kehidupan dan membina masa depan.  Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi tanggungjawab utama pelajar.  Jangan jadi seperti kera mendapat bunga yang tidak tahu menghargai sesuatu yang bernilai.

Hasil : Cikgu Lina