Rumusan 2 – Kelantan 2016

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan-kelebihan menabung bagi golongan remaja dan cara-cara untuk menarik minat golongan remaja menabung.  Panjangnya huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

Kebanyakan ibu bapa pada zaman ini mempunyai masa yang amat terhad dengan keluarga terutamanya dengan anak-anak.  Oleh sebab itu, tidak hairanlah rata-rata ibu bapa pada hari ini memanjakan anak-anak mereka dengan wang ringgit.  Mereka menganggap bahawa cara ini sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap anak-anak.  Walau bagaimanapun, tindakan ini lama-kelamaan akan menyebabkan golongan remaja ini lupa diri.  Walaupun ibu bapa mempunyai harta yang banyak dan dapat digunakan pada bila-bila masa tanpa had, perkara ini bukan alasan bagi remaja untuk bersikap boros dan tidak mengendahkan amalan menabung yang dapat dijadikan sebagai simpanan masa hadapan.

Amalan menabung ini juga dapat mendidik golongan remaja agar berjimat cermat tatkala tangan mereka memegang wang yang banyak.  Selain itu, amalan ini juga dapat mendidik golongan remaja untuk merancang perbelanjaan dengan bijak.  Sikap beringat-ingat semasa senang mampu mengelakkan golongan remaja daripada menghadapi masalah kewangan.  Hal ini dikatakan demikian kerana duit simpanan amat penting terutamanya untuk digunakan pada masa-masa kecemasan.  Sebagai contoh, simpanan tersebut boleh digunakan untuk menggantikan barang-barang keperluan yang rosak atau hilang terutamanya bagi remaja yang menuntut di kolej atau tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

Remaja yang gemar menabung dapat meringankan beban ibu bapa kerana duit simpanan mereka yang dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran.  Dengan cara ini, remaja dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa.  Hal ini dikatakan demikian kerana kos belajar di institusi pengajian tinggi agak mahal.  Walaupun kerajaan menyediakan bantuan pinjaman atau biasiswa, remaja tetap perlu menyediakan sejumlah wang yang mencecah ribuan ringgit semasa pendaftaran dan sepanjang tempoh pengajian.  Sekiranya seseorang itu mempunyai wang tabungan, mereka dapat mengurangkan beban hutang pendidikan yang terpaksa ditanggung selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Amalan menabung dalam kalangan remaja dapat membentuk golongan remaja yang berdisiplin dan bermaruah.  Mereka dapat menilai keperluan hidup dengan bijak supaya tidak melepasi batas keperluan sehingga berlaku pembaziran.  Remaja yang terdidik dengan sikap berjimat cermat dan suka menabung pula akan memperoleh pulangan yang lumayan sekiranya mereka memilih untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap ataupun sistem perbankan Islam berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat Islam.  Mereka juga boleh melabur wang dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita.  Pengurusan kredit secara berhemah ini membantu golongan remaja mencapai ketenangan minda.

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan dipraktikkan.  Perspektif negatif seperti biar papa asal bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu kehidupan yang begitu mencabar.  Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan.

 

  1. Apakah maksud rangkai kata meringankan beban ?( 2m)
  2. Pengarang mengemukakan beberapa kaedah menabung yang menguntungkan golongan remaja.  Nyatakan kaedah-kaedah tersebut. ( Ada dalam petikan) (3m)
  3. Alasan bergaji kecil dan tidak mencukupi dalam perbelanjaan seharian sering kali menjadi isu yang diperkatakan oleh pekerja untuk tidak menabung.  Jelaskan alasan-alasan lain yang dikemukakan oleh seseorang yang tidak mahu menabung. (4m)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.