Sinopsis Bab 2

Detik-Detik Hati Tersentuh – melihat insan yang disayangi tidak lagi seperti sebelumnya.  Hati bagai dihiris sembilu.  Hidup dalam kekurangan mampu dihadapi tapi berdepan dengan hakikat ibu sendiri seperti orang kurang siumannya benar-benar membuatkan dirinya hilang kata-kata.

Dahlia menyinsing kain berjalan kaki pulang ke rumah di jalan yang becak selepas hujan.  Dia menoleh ke belakang dengan harapan Azhari sudah pun berlalu tetapi lelaki itu tetap tercegat di jambatan.  Jeritan Azhari memintanya berhati-hati membuatkan Dahlia jengkel dengan tindakan lelaki itu.  Mungkin dia tidak memahami resam kehidupan kampung.  Ketika menikmati pemandangan kiri dan kanan yang dipenuhi pokok getah dan rimbunan daun ubi, Dahlia disapa oleh Aton, balu beranak satu yang kematian suami lima tahun dulu.  Sindiran Aton tentang ‘ketidakwarasan’ Saleha benar-benar menyentuh hati kecil Dahlia.  Dahlia segera meneruskan langkahnya kerana enggan melayan karenah Aton tetapi Aton sempat mengatakan bahawa tidak lama lagi Saleha akan mendapat menantu kerana dia melihat Azhari menghantar Dahlia pulang.

Apabila sampai di rumah yang kelihatan suram, kawasan halaman tidak bersapu menyebabkan Dahli berasa sepi.  Ketika sedang membersihkan lumpur dari kakinya, Dahlia mendengar adiknya Anggerik sedang menangis. Melati (11 tahun) menyambut kepulangan kakaknya Dahlia di tangga.  Dahlia segera membersihkan kakinya yang penuh dengan lumpur lalu menuju ke dapur.  Adik bongsunya, Anggerik berguling-guling di lantai.  Susu yang dibancuh Melati tidak diminum kerana cair.  Susu sudah habis.  Namun Dahlia tidak menyesali takdir diri.  Dahlia memanggil Kiambang (gadis sunti Tingkatan 1) yang masih berpakaian sekolah untuk menjaga Anggerik kerana dia perlu memasak untuk makan malam.

Dahlia meminta Melati membeli susu, Melati meminta duit.  Dahlia menyuruh Melati berhutang dengan Tauke Lim tetapi  Melati berasa malu kerana selalu berhutang.  Ketika keluar melalui pintu belakang, Melati kembali memberitahu Dahlia bahawa ibu mereka yang keluar sejak sebelum hujan berada di kebun getah.  Dahlia berpesan kepada Melati untuk membeli sekilo gula pasir  sebelum dia pergi mendapatkan ibunya.

Dahlia memerhatikan tingkah laku ibunya yang bercakap sendirian dan berseloka “ Emak Si Randang”.  Emaknya tidak pernah belajar puisi, tetapi tiba-tiba boleh berseloka.  Dahlia memanggil ibunya yang berusia 39 tahun itu tetapi Saleha tidak mengenali anaknya sendiri.  Dahlia memeluk ibunya dengan kuat tetapi ibunya meronta-ronta lalu menolak Dahlia sehingga jatuh ke tanah yang becak lalu dia terjerit.  Pada waktu senja itu, Embong (bapa Dahlia) muncul untuk mendapatkan anak gadisnya dan menanyakan sebab anaknya berada di situ. Dahlia menuding ke arah ibunya. Embong terkejut melihat keadaan isterinya yang berkelakuan ganjil sejak akhir-akhir ini. Apabila Embong menghampiri Saleha, Saleha berlari semakin jauh, meredah paku-pakis. Dahlia dan Embong cuba membawa Saleha balik tetapi tidak berjaya.