Sinopsis Bab 1

Cerita bermula dengan Dahlia dan Siti Wangi yang keletihan berlatih bola jaring bersama rakan-rakannya di padang lalu duduk berehat di kerusi panjang.  Siti Wangi mengajak Dahlia untuk berjoging pada sebelah petang namun  Dahlia memberitahu Siti Wangi tentang keinginannya untuk balik ke kampung.  Siti Wangi mengusik Dahlia bahawa ada seseorang yang istimewa sedang menunggu Dahlia di kampung.  Usikan tersebut menyebabkan Dahlia teringat akan masalah ibunya yang bercakap sendirian di bawah pokok getah dan merayau tidak tentu arah apabila senja menjelang.

Kemudian Siti Wangi mengingatkan Dahlia tentang pembentangan kertas kerja yang disuruh oleh Cikgu Hisyam.  Mereka mencari maklumat tentang remaja yang meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja.  Mereka mesti membuat kajian terperinci agar persembahan mereka mantap.  Perbualan mereka terputus apabila Kavita muncul dan memberitahu bahawa ada seorang lelaki berkumis nipis, tinggi dan kacak ingin berjumpa dengan Dahlia di kantin.

Di kantin, Dahlia berjumpa dengan Azhari, lelaki yang sudah lama tidak bersua muka.  Mereka berbual tentang pelajaran.  Dahlia pelajar STPM manakala Azhari akan mendapat ijazahnya pada bulan Ogos.  Selepas itu, Azhari menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan ke rumah Dahlia untuk merisik, bertunang dan berkahwin dengan Dahlia.  Azhari dikenali Dahlia ketika mereka sama-sama menuntut di SMK Tun Ismail. Dahlia menyampaikan hasratnya yang masih mahu meneruskan pelajarannya kerana Dahlia merupakan anak sulung, malah dia telah mengatakan keinginannya untuk melihat adik-adiknya berjaya dalam pelajaran kepada ibu bapanya.  Azhari memberitahu bahawa dia tidak menghalang Dahlia untuk meneruskan pelajarannya malah menggalakkan Dahlia meneruskan pengajian ke peringkat yang tinggi.  Pertunangan mereka diharap dapat menjamin masa depan mereka untuk bersama-sama melayar bahtera perkahwinan.

Ketika mereka berbincang,  Dahlia melihat jam tangan di tangan kanannya sudah 4. 25 petang, pada kebiasaannya waktu seperti ini dia sudah menunggu bas untuk pulang.  Azhari ingin menghantar Dahlia tetapi Dahlia berasa keberatan kerana bimbang akan pandangan orang kampung terhadapnya.