KC1 – Pembuangan Bayi

Soalan : Kejadian pembuangan bayi mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat zaman ini.  Huraikan langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan masalah ini tidak bermaharajalela. 

                Kebejatan manusia alaf moden semakin terzahir dengan penemuan banyak mayat bayi yang tidak berdosa di tempat-tempat yang kotor seperti di dalam tong sampah, di tepi longkang, di bawah jambatan, di dalam mangkuk tandas, malah ada yang terburai isi kepalanya akibat dihumban dari bangunan tinggi.  Pastinya bayi yang dibunuh ini ialah anak hasil hubungan terlarang yang tidak diingini oleh ibu bapanya.  Lunturnya nilai kemanusiaan ini mungkin disebabkan oleh kegagalan institusi keluarga, institusi pendidikan dan ditambah pula dengan kepesatan teknologi yang semakin canggih hingga terlalu banyak menyogok remaja dengan keseronokan melampau budaya hedonisme.  Usahlah kita terlalu sibuk menuding jari mencari punca kesalahan sebaliknya bersinergi dalam mengatasi masalah ini hingga akar umbi.

                Cegah sebelum parah.  Itulah cara yang paling berkesan dalam menangani isu pembuangan bayi ini.  Anak-anak perlu diberi didikan agama dan nilai murni yang tinggi hingga dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian walaupun tanpa pemantauan ibu bapa.  Jika remaja mengetahui bahawa perlakuan seks bebas ialah perbuatan yang salah dan akan mengundang banyak masalah, pasti mereka akan mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah itu.  Gadis pula akan lebih bersikap tertutup terhadap godaan yang datang daripada pasangan masing-masing.  Jelas bahawa jika diri dipenuhi iman, kisah hubungan terlarang sehingga melahirkan bayi luar nikah ini pasti akan dapat diatasi dengan penuh berhemah.

Hukuman terhadap pembunuh bayi ini juga kelihatan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.  Setakat hari ini, ibu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi tidak pernah lagi dihukum gantung seperti hukuman yang dikenakan terhadap pesalah dalam kes bunuh yang lain.  Pihak lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan kehamilan juga seolah-olah dilepaskan begitu saja.  Masyarakat mengetahui bahawa gadis malang yang menjadi mangsa cinta buta berada dalam keadaan tertekan dan ketakutan dengan kelahiran tersebut ditambah pula dengan sikap lepas tangan si lelaki.  Tanpa berfikir panjang, anak yang baru dilahirkan itu menjadi mangsa.  Akta yang lebih tegas perlu digubal supaya pasangan yang terlibat sama-sama menanggung hukuman atas kesalahan yang dilakukan.  Tindakan ini sekali gus dapat memberi peringatan keras kepada pelaku.

Selain itu, bagi gadis yang telah terlanjur dan hamil, mereka perlu mencari bantuan dalam kadar segera.  Jika keluarga tidak dapat menerima hakikat dan enggan membantu, ada badan bukan kerajaan yang sanggup memberikan perlindungan seperti Rumah Cahaya Nur Kasih.  Gadis-gadis terlanjur akan ditempatkan di situ, diberi didikan agama dan kemahiran.  Setelah melahirkan anak, bayi tersebut akan diserahkan kepada keluarga angkat.  Tindakan mendapatkan bantuan pihak lain sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan bayi tersebut daripada dibuang akibat tindakan membuta tuli si ibu.

Di samping itu, tragedi pembuangan bayi ini dianggap impak daripada hukuman psikologi yang diberikan oleh masyarakat terhadap anak luar nikah.   Hal ini juga yang menyebabkan ibu bapa menafikan hak anak mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana dianggap menconteng arang ke muka ibu bapa dengan menghalau anak gadis dari rumah.  Masyarakat seharusnya membantu, membimbing dan menyelamat gadis yang terlibat agar kesan yang lebih tragik dapat dielakkan dan bukannya berlagak suci dengan melemparkan pandangan sinis dan memberikan label yang memalukan terhadap gadis yang sedang dalam keadaan keliru.

Kesimpulannya, pasangan yang sedang hangat bercinta perlu ada batasan dalam pergaulan.  Kesan buruk akibat hamil luar nikah perlu dijadikan teladan dan masyarakat juga diseru agar tidak terus memberikan hukuman psikologi terhadap gadis yang hamil luar nikah.  Teguran membina penuh kasih sayang mungkin mampu memberi kesedaran terhadap mereka yang terlibat agar tidak mengulanginya lagi.  Jika langkah ini dilakukan, sudah pasti tokak tidak akan menjadi kudis.